Loading...
Loading...

KUALA LUMPUR: Tiada siapa menyangka, Malaysia, negara yang tidak begitu dikenali dalam bidang astronomi, mampu melahirkan seorang saintis muda yang membuat penemuan besar dalam bidang itu.

Pelajar doktor falsafah (PhD) Astrofizik di Universiti Durham, united Kingdom, Nur Adlyka Ainul Annuar, 26, membentangkan hasil penemuan lohong hitam supermasif atau raksasa dalam galaksi NGC 1448 yang tidak jauh dari galaksi kita, Bima Sakti.

Namun, apakah sebenarnya lohong hitam dan mengapa penemuan Nur Adlyka penting kepada manusia?

Istilah lohong hitam hanya terbit pada tahun 1967 oleh ahli Fizik Amerika Syarikat (AS), Prof John Wheeler. Bagaimanapun, asasnya ditemui melalui teori kerelatifan yang dicipta Albert Einstein pada tahun 1915.

Sehingga kini, masih banyak misteri mengenainya yang belum dirungkai.

Lohong hitam adalah satu ruang di angkasa lepas yang mempunyai kekuatan graviti amat kuat sehinggakan segala jirim atau material berhampiran dengannya akan disedut masuk, termasuk cahaya.

Ini menyebabkan ia tidak dapat dilihat dalam gelombang cahaya tampak, namun ia boleh dikesan melalui satelit atau teleskop khas yang berada di ruang angkasa.

Penyelidik astronomi tempatan, Farahana Kamarudin, berkata saintis astrofizik akan menggunakan teleskop yang mampu mengesan gelombang sinar-X dan sinar Gama bagi mengenal pasti lohong hitam di ruang angkasa lepas.

“Oleh kerana tiada cahaya yang dapat dilihat pada lohong hitam, saintis juga mengesan lohong hitam dengan melihat kesan tarikan graviti terhadap bintang yang mengorbit berhampirannya.

“Apabila mana-mana bintang mengorbit berhampiran lohong hitam, satu cahaya bertenaga tinggi akan terhasil, namun ia hanya dapat dilihat menggunakan satelit dan teleskop di angkasa,” katanya ketika dihubungi BH.

Farahana berkata, lohong hitam tidak statik dan jirim seperti bintang dan lain-lain boleh disedut masuk sekiranya bergerak berhampiran dengannya.

Bagaimanapun, katanya, bumi tidak akan ditelan lohong hitam kerana ia tidak terdapat di dalam sistem suria, selain sifatnya yang statik.

Katanya, antara teori menarik mengenai lohong hitam adalah ia dikatakan menghubungkan ke alam semesta yang lain, selain ada teori mengatakan ia menghubungkan ke ruang masa lain, bagaimanapun ia belum dapat dibuktikan.

“Penemuan Nur Adlyka adalah signifikan kerana jarang lohong hitam supermasif ditemui dan kebiasaannya sesuatu penemuan baharu akan membawa kepada penemuan lain atau pembuktian kepada teori sains lain, khususnya dalam astronomi adalah saling berkait.

“Bagi umat Islam, penemuan saintifik baharu dan menarik seperti lohong hitam membawa erti tersendiri mengenai kebesaran dan keunikan ciptaan Allah,” katanya.

Loading...

INFO: Saiz lohong hitam

Terdiri daripada pelbagai saiz, namun secara umum terdapat tiga jenis:

1. Lohong hitam kerdil

Lohong hitam paling kecil
Bersaiz sekecil satu atom
Jisim atau beratnya bersamaan satu gunung yang besar
Dipercayai terhasil ketika permulaan alam semesta selepas berlakunya Letupan Besar atau Big Bang.

2. Lohong hitam stellar

Lohong hitam saiz pertengahan
Jisim atau beratnya adalah 20 kali ganda matahari
Jisim matahari adalah 1.989 × 10^30 kilogram (kg) atau dua nonilion kg
Dipercayai banyak terdapat di galaksi Bima Sakti
Terhasil akibat kematian bintang.

3. Lohong hitam raksasa

Lohong hitam paling besar
Jisim atau beratnya adalah sejuta kali ganda matahari
Boleh masuk ke dalam bola berdiameter satu sistem solar
Kajian mendapati ia wujud di tengah setiap galaksi besar
Lohong hitam supermasif di tengah galaksi Bima Sakti dinamakan Sagittarius A*-Dipercayai wujud  sama waktu dengan pembentukan galaksi.

 

Sagittarius A

Mula ditemui pada 13 Februari 1974
Jisim atau beratnya adalah 4.5 juta kali ganda matahari.

 

Proses kejadian lohong hitam stellar

Gas hidrogen di dalam nebula berputar menghasilkan pelakuran nuklear, melahirkan bintang
Pusat bintang kehabisan hidrogen, menyebabkan bahagian luar bintang mengembang dan menjadi Gergasi Merah
Suhu pusat Gergasi Merah akan meningkat dan melalui beberapa proses pelakuran sehingga terhasilnya besi
Apabila besi terhasil, pelakuran terhenti dan atom besi akan menyerap tenaga
Tenaga dikumpul akan dilepaskan dalam satu letupan supernova
Supernova daripada pusat bintang yang berjisim lapan kali ganda matahari atau lebih akan menjadi lohong hitam.

Apa berlaku jika anda ditarik masuk ke dalam lohong hitam?

Jika kaki anda mendahului, tarikan lebih kuat akan dirasai di bahagian itu berbanding kepala
Semakin hampir, tarikan semakin kuat
Tubuh anda ditarik menjadi panjang dan terpenyet, ahli Astrofizik menggelarnya ‘spaghettification’
Saiz lohong hitam yang besar akan mengurangkan kesan itu.

 

Kajian lohong hitam supermasif aktif oleh kumpulan diketuai Nur Adlyka

Fokus mencari lohong hitam supermasif yang tersembunyi daripada pandangan akibat gas dan habuk tebal
Pencarian di Galaksi NGC 1448
Lohong hitam supermasif ditemui di tengah galaksi itu yang terletak 38 juta tahun cahaya daripada galaksi Bima Sakti
Pencarian menggunakan Nuclear Spectroscopic Telescope Array (NuSTAR) milik Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

Biodata Nur Adlyka
Nama: Nur Adlyka Ainul Annuar
Asal: Muar Johor
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Status: Berkahwin
Pendidikan:
– Sekolah Kebangsaan Sultan Abu Bakar 2
– Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar
– Ijazah Sarjana Muda Fizik dan Astrofizik, University of Sheffield, United Kingdom.

Rujukan :

https://www.bharian.com.my/node/235569

Loading...

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan.

Name
Email
Website